TUJUH AHLI BAHARU JAWATANKUASA KHAS MENGENAI RASUAH DILANTIK

KUALA LUMPUR: Seramai tujuh ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) baharu telah dilantik Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bagi tempoh tiga tahun, berkuatkuasa pada 15 Julai 2021 hingga 14 Julai 2024.

Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan kesemua ahli JKMR yang dilantik terdiri daripada kalangan ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat, yang mewakili parti kerajaan serta parti pembangkang.

Pelantikan tersebut disampaikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki di bangunan Parlimen, hari ini.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim telah dilantik sebagai pengerusi JKMR.

Antara ahli yang lain merupakan empat Ahli Dewan Negara iaitu Senator Tuan Ir. Md Nasir Hashim, Senator Raj Munni Sabu, Senator Idris Ahmad, Senator Zaiedi Suhaili, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai.

Jawatankuasa tersebut bertanggungjawab untuk menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek masalah rasuah dalam negara dan memeriksa Laporan Tahunan SPRM.

Jawatankuasa ini turut berperanan memeriksa ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah serta mendapatkan penjelasan dan penerangan mengenai laporan tahunan SPRM.—AlHijrah Online

Leave a Reply