
KANGAR: Beberapa tulang dipercayai milik manusia ditemukan dalam keadaan terkeluar daripada sebuah guni putih yang telah reput di kawasan semak di Bohor Mali semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu daripada seorang peniaga lelaki berusia 61 tahun pada pukul 12.35 tengah hari.
“Tanah tersebut baru sahaja dibeli anak perempuannya ini anggaran lebih kurang dua bulan lepas. Semasa aktiviti pembersihan, peniaga ini telah menjumpai beberapa tulang tidak dikenal pasti dalam keadaan terkeluar daripada guni putih tersebut atas tanah tertimbus dengan sebahagian tanah dan ditutupi semak-samun itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati beberapa tulang itu ditemukan bersama sehelai seluar dalam jenis boxer, sehelai seluar pendek lusuh yang koyak serta seutas tali pinggang di dalam guni yang dipercayai telah lama ditinggalkan.
“Barang kes telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk analisis awal patalogi lebih kurang 4.30 petang semalam dan laporan analisis awal dijangka diperoleh dalam tempoh seminggu,” katanya.
Menurut beliau, lokasi penemuan terbaharu itu terletak kira-kira 31.1 meter dari kawasan rangka manusia yang ditemukan pada 26 Julai lalu.
Kes berhubung penemuan tulang semalam dan rangka manusia yang ditemukan sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis turut meminta mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Tengku Mohd Farid Tengku Ibrahim di talian 019-9939200.
Pada Selasa lalu, Yusharifuddin mengesahkan rangka yang ditemukan dalam bungkusan guni di kawasan kebun berhadapan sebuah kilang pada 26 Julai ialah rangka manusia. — AlHijrah Online.