
PASIR MAS: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 45 motosikal seludup termasuk Yamaha RXZ yang dianggarkan bernilai RM3.62 juta termasuk cukai dalam tempoh Januari hingga Jun lalu.
Pengarah Kastam Kelantan, Mohd Hisham Mohd Nor berkata, rampasan itu dibuat menerusi operasi penguatkuasaan serta hasil maklumat awam di beberapa lokasi di Kelantan, Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
“Motosikal yang diseludup termasuk motosikal berkuasa tinggi, kapcai dan Yamaha RXZ yang mendapat permintaan tinggi kerana dijual lebih murah daripada harga pasaran. Ada juga dibawa masuk untuk dijual sebagai alat ganti,” katanya pada sidang media di Cawangan Penguatkuasaan Kastam Rantau Panjang hari ini.
Beliau berkata, sindiket dipercayai menyeludup masuk motosikal berkenaan melalui Sungai Golok dan pangkalan haram sebelum menyimpannya di bengkel, kawasan perumahan serta stor simpanan.
Motosikal itu diklasifikasikan sebagai barang larangan import dan tidak boleh didaftarkan kerana tidak mempunyai dokumen import yang sah.
Mohd Hisham berkata, nilai motosikal yang dirampas dianggarkan RM1.34 juta, manakala cukai berjumlah RM2.28 juta, menjadikan keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM3.62 juta.
Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. — AlHijrah Online.