PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia khususnya umat Islam diharapkan untuk tidak terpengaruh dengan dakwaan seorang pempengaruh yang menuduh sistem pertahanan negara akan dikuasai oleh pihak asing kesan dari urus niaga membabitkan pelaburan syarikat Blackrock.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, dakwaan tersebut hakikatnya telah menyeleweng dari fakta sebenar sebagaimana yang dijelaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen baru-baru ini.
“Perdana Menteri telah menyatakan pelaburan Blackrock tersebut tidak mempengaruhi aspek pemilikan dan pengurusan lapangan terbang dan pertahanan negara.
“Saya ingin menyeru agar umat Islam tidak terpengaruh dengan dakwaan pempengaruh tersebut yang jelas tidak bersandarkan fakta sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Naim dalam pada itu mengajak umat Islam untuk bertabayyun iaitu menyelidik dan mendalami kesahihan sesuatu dakwaan dan berita dalam isu membabitkan kepentingan negara.
Ujarnya, umat Islam juga hendaklah berhati-hati dengan pelbagai usaha segelintir individu yang tidak bertanggungjawab yang cuba mewujudkan rasa takut dan terancam di kalangan umat Islam dan rakyat Malaysia menggunakan sumber yang berunsur fitnah dan tidak sahih.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk kesekian kalinya ingin terus menegaskan sikap dan pendirian Kerajaan Malaysia yang kekal bersolidariti bersama perjuangan rakyat Palestin yang kini sedang berdepan dengan kekejaman Israel,” katanya.—AlHijrah Online