UPKK 2019: AMALI SOLAT, PCHI CATAT KEPUTUSAN LULUS HAMPIR 100 PERATUS

Last Updated on

PUTRAJAYA: Konsep kemenjadian murid yang diterapkan dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2019 terus menunjukkan keberkesanan apabila 99.9 peratus daripada 229,131 calon mencatat keputusan cemerlang dalam mata pelajaran Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI).

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata bagi mata pelajaran al-Quran sebanyak 99.8 peratus kelulusan dicatatkan yang menunjukkan kejayaan pelajar dalam menguasai ibadat solat, tilawah al-Quran dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian.

“Ini merupakan tahun kedua kemenjadian murid menjadi fokus pelaporan yang kejayaan mendapat keputusan bukan untuk membanding bezakan murid kerana setiap daripada mereka mempunyai kecerdasan berbeza.

“Keberkesanan dalam kemenjadian murid bukan diukur melalui bilangan A tetapi diterjemahkan melalui amalan cara hidup serta pembudayaan nilai-nilai yang dipelajari di kelas dalam kehidupan seharian,” katanya kepada pemberita pada pengumuman keputusan UPKK di sini hari ini.

Mohamad Nordin berkata enam mata pelajaran lain yang diuji dalam UPKK juga mencatat peratusan membanggakan iaitu Jawi dan Khat (93.2 peratus); Lughatul Quran (88.7 peratus); Sirah (86.2 peratus); Adab (Akhlak Islamiah) serta Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah) yang masing-masing memperoleh 89.5 dan 87.0 peratus.

Beliau berkata untuk subjek Adab beberapa tambah nilai telah dibuat dengan memasukkan elemen konsep Rahmah yang dipelopori kerajaan ketika ini antaranya kasih sayang, hormat-menghormati, tolong-menolong, kesantunan dalam ujian yang dilakukan.

“Harapan kami adalah untuk menjadikan UPKK sebahagian daripada tanggungjawab bagi menghasilkan warga negara yang seimbang dari sudut pendidikan dan cara hidup sempurna,” katanya.

Mohamad Nordin berkata calon boleh mendapatkan pernyataan keputusan peperiksaan UPKK mulai jam 3 petang hari ini di sekolah masing-masing.

Selain itu, katanya keputusan UPKK juga boleh disemak secara dalam talian di alamat http://semakan.islam.gov.my atau melalui khidmat pesanan ringkas dengan menaip UPKK RESULT NO MYKID atau nombor pengenalan ke mySMS 15888 mulai 11 pagi ini hingga 25 Dis.

UPKK merupakan peperiksaan bagi murid-murid tahun lima kelas KAFA bertujuan mengukur pencapaian mereka setelah mengikuti pembelajaran KAFA berdasarkan kurikulum yang ditetapkan. — BERNAMA

Leave a Reply