Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

HARI KEDUA SIDANG KEMUNCAK BELIA MULA DENGAN PERHIMPUNAN AGUNG

DALAM NEGARA

HARI KEDUA SIDANG KEMUNCAK BELIA MULA DENGAN PERHIMPUNAN AGUNG

KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak Belia 2019 masuk hari kedua dengan perhimpunan agung dan pembentangan resolusi daripada enam kluster iaitu pendidikan, ekonomi, politik, keusahawanan, revolusi industri 4.0 dan tadbir urus yang baik yang dibincangkan semalam.

Sidang kemuncak itu turut dijadual mengadakan pembentangan lima projek khas iaitu Kepimpinan Belia, Program Pertukaran Belia, Kemanusiaan dan Kesukarelawanan, Teknologi dan Kemapanan, Kemahiran dan Latihan.

Sidang tersebut yang menjadi platform untuk golongan belia melahirkan idea dan membincangkan masa depan negara dan dunia Islam merupakan permulaan kepada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bermula hari ini hingga Sabtu ini.

Pada sebelah malam, Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dijadual menghadiri jamuan malam bagi mengalu-alu kedatangan pemimpin antarabangsa dan perwakilan sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.

Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran, Hassan Rouhani adalah antara pemimpin Islam dijangka menyertai sidang kemuncak tersebut di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Sidang kemuncak berkenaan, antara lain, membincangkan dan mencari jalan penyelesaian baharu terhadap masalah menimpa dunia Islam serta memperbaiki keadaan umat Islam dan negara Islam.

Ia juga bertujuan untuk membentuk jaringan antara pemimpin Islam, cendekiawan, ulama dan pemikir di seluruh dunia serta menghidupkan semula tamadun Islam. — BERNAMA


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading