Connect with us

ALHIJRAH NEWS

USAHA TELAH DILAKSANA, KINI MASA BERTAWAKAL DAN MENGHARAPKAN KEPUTUSAN TERBAIK

DALAM NEGARA

USAHA TELAH DILAKSANA, KINI MASA BERTAWAKAL DAN MENGHARAPKAN KEPUTUSAN TERBAIK

PH bersedia menerima apa juga keputusan yang ditentukan oleh ALLAH SWT selepas segala usaha dilaksanakan sepanjang tempoh kempen.

PORT DICKSON: Semua calon Pakatan Harapan (PH) yang beragama Islam diseru supaya memperbanyakkan munajat dan berdoa menjelang kemuncak Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini.

Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, setiap calon perlu bertawakal dan menyerahkan keputusan pilihan raya kepada ketentuan Allah SWT.

“Banyak yang telah kita usahakan sepanjang tempoh berkempen dan membuktikan kemampuan kita kepada pengundi. 

“Pada masa sama, jangan lupa kepada semua calon yang beragama Islam untuk terus bermunajat memohon kepada Allah SWT agar memberikan keputusan yang terbaik kepada Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Linggi Bermunajat yang diadakan di Dewan Orang Ramai Linggi.

Aminuddin berkata, keyakinan PH terhadap penerimaan rakyat semakin meningkat selepas melalui tempoh berkempen dan mendekati pengundi di seluruh kawasan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa PH bersedia menerima apa juga keputusan yang ditentukan oleh ALLAH SWT selepas segala usaha dilaksanakan sepanjang tempoh kempen.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang turut hadir memberi sokongan kepada Aminuddin menyifatkan PRN Negeri Sembilan sebagai satu ujian penting kepada PH dalam berdepan pelbagai isu yang didakwanya sengaja dispekulasikan sehingga boleh memecahbelahkan masyarakat.

Beliau berkata, pengundi perlu menilai sendiri prestasi Kerajaan Perpaduan serta usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya dalam memulihkan ekonomi dan menjaga kepentingan negara, bangsa serta agama.

“Lihat sendiri apa yang dilakukan PMX. Jangan hanya dengar spekulasi politik yang tidak betul. Nilailah berdasarkan fakta kerana apa yang dilakukan adalah untuk menyelamatkan ekonomi, negara, bangsa dan agama,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mengingatkan golongan muda, khususnya Generasi Z, supaya bijak menilai setiap kandungan yang tular di media sosial tanpa membuat semakan terlebih dahulu.

Menurutnya, sebahagian maklumat yang disebarkan di media sosial mungkin tidak tepat, tidak lengkap atau sengaja dimanipulasi bagi mempengaruhi persepsi serta kecenderungan politik pengundi muda. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading