IPOH: Pendakwah terkenal, Datuk Mohammad Kazim Elias telah dibenarkan keluar dari hospital dan kini sedang berehat di kediamannya.
Perkembangan positif itu dikongsikan oleh abangnya, Datuk Mohd Najmuddin Elias yang memaklumkan keadaan adiknya semakin baik dan menggembirakan seluruh ahli keluarga serta para peminat.
Menurutnya, pihak keluarga amat bersyukur dengan kemajuan kesihatan yang ditunjukkan dan berharap Ustaz Kazim terus beransur pulih sepenuhnya.
Dalam masa sama, beliau mewakili keluarga merakamkan penghargaan kepada para doktor dan kakitangan hospital serta rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan pendakwah itu.
Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan agar tidak menziarahi Ustaz Kazim buat sementara waktu bagi memberi ruang untuk beliau berehat.
Buat masa ini, hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan melawat, katanya.
Tambahnya lagi, rawatan susulan akan terus dijalankan kerana terdapat beberapa implikasi berkaitan jantung yang memerlukan pemantauan lanjut.–AlHijrah Online