VIDA MENGAKU TIDAK BERSALAH MUAT NAIK VIDEO ‘MUAH MUAH RAYA’ BERSIFAT SUMBANG

SEPANG: Usahawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman atau Datuk Vida mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memuat naik dan menghantar video bersifat sumbang di laman YouTube, April lalu.

Hasmiza, 51, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Ahmad Fuad Othman.

Menurut pertuduhan, dia didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video bersifat sumbang menggunakan perkhidmatan aplikasi YouTube atas nama ‘DSV Entertainment’.

Kesalahan tersebut dilakukan pada 29 April dan dilihat di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cyberjaya pada 5 Mei lalu.

Hasmiza didakwa mengikut Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 (Akta 588) yang boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya SKMM, Fazril Sani Mohamed Fadzil mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam bela yang mewakili Hasmiza, Datuk Adnan Seman merayu agar jumlah itu dikurangkan kepada RM2,000 berikutan ia merupakan kali pertama anak guamnya dituduh di mahkamah.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Ahmad Fuad membenarkan Hasmiza diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Disember depan untuk serahan dokumen.

Sebelum ini, Hasmiza dipanggil SKMM bagi memberi keterangan berkenaan video muzik ‘Muah Muah Raya’ yang mencetuskan kontroversi serta mendapat kecaman warganet.

Konsep video muzik ‘Muah Muah Raya’ yang diketengahkan usahawan itu menerima pelbagai reaksi dan kritikan selepas ia dianggap seolah-olah tidak menghormati Aidilfitri kerana menampilkan unsur ‘drag queen’.–AlHijrah Online

Leave a Reply