WARDEN PUSAT TAHFIZ DIDAKWA PIJAK, TUMBUK PELAJAR

MELAKA: Seorang warden sebuah pusat tahfiz didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mendera pelajarnya termasuk memijak, menumbuk, menampar dan memukul empat mereka sehingga cedera, pada Februari lalu.

Tertuduh Muhammad Farhan Abdul Rashid, 35, yang merupakan warganegara Singapura bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas lima pertuduhan dibacakan dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd Sabri Ismail.

Berdasarkan dua pertuduhan dibaca di hadapan Darmafikri, suspek didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas dua pelajarnya berusia 14 tahun empat bulan dan 14 tahun 11 bulan telah mendedahkan remaja itu kepada bahaya.

Mangsa ditampar serta ditumbuk pada bahagian pipi, perut ditendang dan dipijak di bahagian dada manakala seorang lagi mengalami kecederaan fizikal di bahagian kaki kanan.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah guru di Pusat Tahfiz Al-Islah Jalan Sungai Air Hitam, Kampung Baru Bertam, Malim, pada 7 dan 8 Mei lalu.

Kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama 31(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi tiga lagi pertuduhan yang dibaca di hadapan Mohd Sabri, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan telah mendedahkan dua pelajarnya berusia 15 tahun kepada bahaya dengan menampar pipi dan memukul badan mangsa menggunakan rotan buluh, manakala seorang lagi dipijak di bahagian perutnya.

Kesalahan itu dilakukan di surau dan gelanggang bola pusat tahfiz sama pada pertengahan Februari dan 10 Mei lalu.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari dan Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan demi keselamatan mangsa dan bimbang sekiranya tertuduh keluar dari negara ini dalam tempoh kes sedang berjalan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Faathir Imran bagaimanapun merayu jaminan dibenarkan kerana pusat tahfiz terbabit telah ditutup operasinya dan semua pelajar telah pulang ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun mahkamah memutuskan untuk tidak memberikan jaminan sementara tarikh sebutan semula kes pada 26 Jun depan.

Media sebelum ini melaporkan seorang pengasas tahfiz di Melaka bersama adiknya yang juga warden pusat berkenaan ditahan selepas dipercayai terlibat melakukan jenayah seksual dan mendera enam pelajar lelakinya.—AlHijrah Online

Leave a Reply