WARGA EMAS DITETAK JIRAN KERANA ISU LALUAN KORIDOR

AMPANG: Seorang warga emas berumur 64 tahun cedera apabila diserang dan ditetak menggunakan pisau oleh jirannya.

Mangsa dilapor mengalami kecederaan luka di bahagian lengan sebelah kiri dan sakit di semua bahagian badan akibat serangan.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak , kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi semalam semasa mangsa yang tidak bekerja tiba di rumahnya.

“Ketika sampai di rumah, jiran pengadu terus mendekatinya dengan memegang sebilah pisau lalu suspek terus menetak dan terkena topi keledar yang dipakai pengadu.

“Suspek juga terus menolak pengadu sehingga jatuh dan terus menetak tangan kiri pengadu dengan pisau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mohamad Farouk, punca pergaduhan adalah disebabkan isu laluan koridor yang mana suspek tidak suka mangsa melaluinya ketika dia berada di koridor itu.

Susulan kejadian suspek yang berusia 38 tahun bekerja sebagai kontraktor telah ditahan polis petang semalam.

Suspek yang mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah itu ditahan reman bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – AlHijrah Online

Leave a Reply