BANDAR BAHARU: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak 4 Okt lepas, ditemukan meninggal dunia di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Air Puteh, Serdang, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Bandar Baharu Superintenden Mohamad Sani Mat Ali berkata identiti Abdul Aziz Ali, 67, disahkan berdasarkan penemuan maklumat fizikal dan barangan peribadi milik mangsa.
“Mayat kemudian dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut dan proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
“Siasatan lanjut masih dijalankan, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat belum disahkan bagi mengelakkan perkara yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan keluarga warga emas itu mendakwa mangsa hilang selepas dipercayai keluar dari rumahnya di Kampung Air Puteh sejak 4 Okt lepas dan merayu bantuan orang ramai untuk mengesan lelaki berkenaan.–BERNAMA