
KUANTAN: Seorang warga emas orang kurang upaya (OKU) tidak sempat menyelamatkan diri apabila kediamannya di Taman Seri Mahkota Jaya, Kuantan, terbakar kira-kira pukul 9.30, pagi tadi.
Lelaki berusia 67 tahun yang kudung kedua kaki itu ditemukan tidak bernyawa oleh pasukan bomba selepas api berjaya dipadamkan kira-kira 20 minit kemudian.
Mangsa, G. Vilthaliggam, yang dipotong kedua kaki akibat penyakit kencing manis kira-kira dua tahun lalu ditemukan tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah teres berkenaan.
Adik mangsa, G. Lomba, 64, berkata ketika kejadian mangsa bersendirian di rumah.
Sementara itu saksi kejadian, Muhammad Azrizal Yusup, 36, berkata dia melihat asap tebal keluar dari tingkap dapur namun tidak menyangka ada orang di dalam rumah itu.
“Asap daripada belakang sahaja, bilik air, api tak ada. Saya terus telefon 999, tapi waktu itu saya tak tahu dalam ini (rumah) ada mangsa. Kalau tahu, mungkin kita orang tolong awal.
“Jadi daripada pihak bomba, kita dapat tahu ada orang dalam.Tak dengar jeritan minta tolong, semua tak ada,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, mangsa tidak sedarkan diri di atas katil dan tiada sebarang kesan kecederaan pada mangsa.
Tambahnya, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat terhidu asap tebal namun punca sebenar kematian dan kebakaran masih dalam siasatan.—AlHijrah Online