WARGA EMAS TAK SEMPAT MENGUNDI, MENINGGAL DUNIA SELEPAS CELUP JARI

Sumber Gambar: BERNAMA

TAMPIN: Seorang wanita warga emas disahkan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri usai mencelup jari dalam dakwat di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Rokan, Gemencheh, di sini hari ini.

Mangsa berusia 83 tahun itu difahamkan sempat dirawat namun paras oksigennya turun ketika di bawa ke Klinik Kesihatan (KK) Gemencheh.

Menurut Ketua Polis Daerah Tampin Supt Anuwal Ab Wahab, polis menerima maklumat daripada Pembantu Kesihatan di KK Gemencheh memaklumkan seorang wanita disahkan meninggal dunia di klinik itu kira kira jam 11 pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati wanita hadir ke SK Rokan untuk mengundi bersama ahli keluarga.

“Ketika di saluran satu selepas mencelup jari dalam dakwat, si mati tiba-tiba terjatuh dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wanita itu kemudiannya dibawa ke KK Gemencheh oleh ahli keluarganya.

“Si mati sedar namun paras oksigen semakin menurun. Bantuan pernafasan (CPR) dilakukan Pembantu Pegawai Perubatan namun tidak berjaya,” katanya lagi.

Anuwal berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan sering mengadu sakit kaki kepada ahli keluarga sejak pulang mengerjakan umrah.

“Ketika sampai di tempat mengundi, si mati dikatakan berjalan kaki dari kereta ke saluran satu. Rekod perubatan juga mengesahkan wanita ini adalah pesakit darah tinggi,” katanya.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.–AlHijrah Online

Leave a Reply