JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan supaya menjalankan siasatan berhubung operasi “Network School” di Forest City yang didakwa disertai warga Israel.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata warga berkenaan dipercayai menggunakan pasport negara kedua untuk memasuki Malaysia bagi menyertai program tersebut yang sekali gus menimbulkan kebimbangan rakyat.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri memandang serius isu berkenaan dan tidak akan membenarkan atau berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjadikan Johor sebagai tapak untuk membawa ideologi, atau gerakan bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.
“Semakan serta siasatan menyeluruh (perlu dilakukan) terhadap identiti dan kewarganegaraan individu terlibat, dokumen perjalanan dan penggunaan pasport kedua,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata siasatan terperinci itu juga perlu merangkumi jenis pas serta tujuan kemasukan ke Malaysia dan keselarasan antara tujuan kemasukan dengan aktiviti sebenar yang dijalankan oleh individu terlibat.
Onn Hafiz berkata selain agensi keselamatan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Digital dan agensi kawal selia berkaitan turut diminta untuk menentukan status sebenar operasi Network School, selain menyemak keperluan pendaftaran atau kelulusan di bawah undang-undang negara.
Sementara itu, pada peringkat negeri, Onn Hafiz berkata Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor serta agensi berkaitan telah diarahkan untuk menyemak semula semua aspek pematuhan di bawah bidang kuasa masing-masing.
Beliau berkata perkara itu melibatkan pematuhan terhadap syarat lesen premis, penggunaan bangunan, syarat nyata dan syarat khas tanah, penginapan, aktiviti perniagaan serta peraturan lain yang berkuat kuasa.
Onn Hafiz turut memberikan amaran keras bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil oleh pihak berkuasa sekiranya hasil siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, atau sebarang unsur yang boleh menjejaskan keselamatan negara.
“Kerajaan negeri akan terus bertindak secara bertanggungjawab serta berlandaskan undang-undang demi melindungi kepentingan negeri dan mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.
Semalam, tular beberapa hantaran termasuk video di Threads yang mempersoalkan tujuan sebenar Network School beroperasi di Forest City yang didakwa disertai warga asing termasuk Israel. –AlHijrah Online