
Sumber: AFP
DUBAI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Selasa mendakwa Iran telah menyerang dua buah kapal menggunakan peluru berpandu di Selat Hormuz yang mengorbankan seorang anak kapal dan mencederakan lapan yang lain.
Serangan tersebut berlaku selepas Amerika Syarikat (AS) melancarkan siri bedilan baharu terhadap Tehran, sekali gus menandakan peningkatan ketegangan terbaharu dalam kancah peperangan di Asia Barat.
UAE yang kaya dengan hasil minyak merupakan sekutu utama AS di rantau berkenaan dan telah melaporkan pelbagai siri serangan peluru berpandu serta dron daripada Iran sebelum ini.
“Kementerian Pertahanan mengumumkan bahawa kapal tangki nasional, Mombasa dan Al Bahiyah, telah menjadi sasaran dua peluru berpandu krus Iran ketika merentasi laluan perkapalan selatan Selat Hormuz di dalam perairan wilayah Oman,” lapor Kementerian Pertahanan UAE menerusi satu kenyataan di platform X.
Menurut kementerian itu, serangan terbabit telah mengorbankan seorang anak kapal warga India, manakala lapan yang lain cedera termasuk empat daripadanya yang dilapor “mengalami kecederaan parah”.
Tambahnya, insiden itu turut mencetuskan kebakaran pada kedua-dua kapal tangki yang mengakibatkan kerosakan, namun api telah berjaya dikawal.
“Kementerian Pertahanan mengecam sekeras-kerasnya serangan secara terang-terangan ini dan menyifatkannya sebagai satu pencabulan serius serta pelanggaran undang-undang antarabangsa yang jelas mengancam keselamatan dan kestabilan serantau,” tegas kementerian itu.
Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan penting yang menjadi nadi kepada satu perlima daripada bekalan minyak dunia sebelum perang meletus pada Februari lalu, dan kini menjadi titik pertikaian utama antara AS dan Iran.
Pada Isnin, Trump berikrar untuk mengenakan caj ke atas semua kargo yang melalui laluan perairan tersebut bagi membiayai kos untuk memastikannya kekal beroperasi, selain menguatkuasakan semula sekatan ke atas kapal-kapal Iran yang telah ditarik balik pada bulan lalu. — AlHijrah Online.