KOTA BHARU: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM12,000 pada tahun lepas.
Abdul Rahman Khairuddin, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya.
Inspektor itu didakwa meminta suapan berjumlah RM10,000 daripada seorang wanita berusia 34 tahun sebagai dorongan supaya tidak menuduh dua wanita atas kesalahan di bawah Seksyen 19 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, pada kira-kira 10.30 pagi, 2 April 2025.
Abdul Rahman yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Jeli juga didakwa memperoleh wang tunai RM2,000 secara rasuah daripada wanita sama, melalui seorang wanita berusia 45 tahun sebagai dorongan untuk tidak menuduh dua wanita atas kesalahan di bawah Seksyen 19 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 di IPD Jeli, pada kira-kira 2.30 petang, 2 April 2025.
Kedua-dua pertuduhan masing-masing mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 (Akta 694).
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2019 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mariah Omar menawarkan jaminan sebanyak RM10,000, namun peguam lelaki itu Ahmad Khir Khairuddin memohon jumlah jaminan yang lebih rendah.
Hakim Dazuki Ali membenarkan Abdul Rahman diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, selain memerintahkannya menyerahkan pasport, tidak menganggu saksi serta melapor diri di pejabat SPRM Kota Bharu setiap bulan.
Mahkamah turut menetapkan 19 Ogos ini untuk sebutan semula kes.–BERNAMA