15 BERANAK TINGGAL SEHELAI SEPINGGANG

KUALA TERENGGANU: Seorang remaja melecur di bahu serta tangan semasa menyelamatkan diri apabila rumah didiami bersama keluarganya terbakar, di Jalan Masjid Kampung Merbau Patah, petang semalam.

Mangsa, Muhammad Adli Matsu@Mohd Johan, 19, bagaimanapun dilaporkan stabil selepas menerima rawatan daripada Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS).

Menurut bapa mangsa, Matsu@ Mohd Johan Sidek, 49, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, mereka 15 beranak tidur di ruang tamu rumah selepas pulang berniaga di Pasar Borong Gong Pauh, di sini.

Beliau tersedar selepas dikejutkan isterinya, Rohaida Bakar, 43, yang terhidu bau hangit sebelum ternampak api dalam salah sebuah bilik.

“Saya cuba memadamkan api, tapi ia semakin besar dan merebak sangat cepat, lalu saya arahkan semua anak, menantu dan cucu untuk keluar dari rumah.

“Kami tidak sempat selamatkan apa-apa termasuk dokumen penting dan kenderaan kami serta wang tunai sebanyak RM2,000,” kata Matsu.

Mengulas lanjut, semasa situasi kelam kabut tersebut, Muhammad Adli terkena percikan api yang sedang marak dan ibunya hampir cedera apabila tersungkur ke tanah dan nyaris kepalanya terkena batu.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.18 petang.

Rozizah mengerahkan sebanyak dua jentera, satu jenter ‘water tanker’ dan dua utiliti dengan kekuatan seramai 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu dan dibantu BBP Jalan Kota di sini bergegas ke tempat kejadian.

Jelasnya setibanya di lokasi, api sedang marak membakar hampir keseluruhan rumah yang sepenuhnya diperbuat daripada kayu.

Setakat ini punca dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan. — AlHijrah Online

Leave a Reply