15 MAUT REMPUHAN KERETA API DI BANGLADESH

DHAKA: Sekurang-kurangnya 15 maut dengan lebih 50 cedera pada Selasa apabila dua kereta api penumpang berlanggar di daerah Brahmanbaria, menurut agensi berita Anadolu yang memetik laporan media dan polis.
“Sehingga kini, 15 mangsa disahkan maut dalam kemalangan itu. Kita masih melakukan kerja-kerja baik pulih,” kata ketua polis daerah, Mohammad Anisur Rahman.
Beliau berkata jumlah kematian dijangka meningkat ketika ramai penumpang dilaporkan terperangkap di bawah gerabak kereta api.
“Satu jawatankuasa dibentuk bagi menyiasat punca kemalangan dan selepas itu kita akan mengesahkan jumlah kematian dan kerosakan sebenar,” kata Rahman.
Kemalangan itu berlaku selepas kereta api terbabit secara tidak sengaja melanggar signal ketika menukar haluan, demikian lapor Shomoy TV memetik sumber polis.
Susulan kemalangan itu, perkhidmatan antara Dhaka dan dua bandar utama iaitu Sylhet dan Chottogram, digantung sementara.
Presiden Bangladesh, Abdul Hamid dan Perdana Menterinya, Sheikh Hasina menyatakan takziah kepada mangsa terbabit. — Terjemahan AlHijrah Online