KANADA SOKONG SIASATAN ICJ DAKWAAN GENOSID ETNIK ROHINGYA

TRENTON: Kanada pada Isnin memuji usaha Gambia mengheret Myanmar ke mahkamah untuk menjawab pertuduhan melakukan genosid terhadap etnik minoritinya Rohingya, demikian lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan menteri hal ehwal luar Kanada.

“Kanada mengalu-alukan tindakan Gambia mengemukakan satu permohonan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk memulakan prosiding terhadap Kerajaan Myanmar atas dakwaan melanggar Konvensyen Genosid,” kata Menteri Hal Ehwal Luar Chrystia Freeland.

Gambia pada Isnin berkata ia telah memfailkan permohonan setebal 46 muka surat bagi pihak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mewakili 57 negara Islam.

Jika mahkamah memutuskan untuk meneruskan kes itu, buat julung kalinya ia akan melihat tuntutan genosid secara sendiri dan tidak bergantung kepada keterangan tribunal lain.

“Langkah ini akan membantu mempercepat akauntabiliti bagi genosid, termasuk perbuatan pembunuhan beramai-ramai, diskriminasi secara sistematik, ucapan berunsur kebencian dan keganasan seksual serta berasaskan jantina terhadap Rohingya seperti yang berlaku pada Ogos 2017 yang memaksa lebih 740,000 Rohingya melarikan diri ke negara jiran Bangladesh dan mencetuskan kewujudan kem pelarian terbesar di dunia,” kata Freeland.

“Kanada akan bekerjasama dengan negara lain yang berfikiran serupa untuk menghentikan kekebalan mereka yang dituduh melakukan jenayah paling berat di bawah undang-undang antarabangsa. Bersama rakan-rakan kami, kami akan meneroka pilihan untuk menyokong Gambia dalam kesemua usaha ini, dengan bantuan daripada Utusan Khas Kanada ke Myanmar, Yang Berhormat Bob Rae.

”Kanada adalah komited untuk menangani punca krisis dan memastikan bahawa Rohingya secara penuh dan bermakna terlibat dalam perkembangan kesemua penyelesaian ini.

“Memastikan pelaku kekejaman ini dipertanggungjawabkan adalah penting untuk memberikan keadilan kepada mangsa dan mereka yang terselamat,” katanya.

Menurut Amnesty International, lebih 750,000 pelarian Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah melarikan diri dari Myanmar dan menyeberang ke Bangladesh selepas tentera Myanmar melancarkan serangan ke atas komuniti minoriti Islam itu pada Ogos 2017, menjadikan jumlah orang yang teraniaya di Bangladesh melebihi 1.2 juta orang.

Sejak 25 Ogos 2017, hampir 24,000 orang Islam Rohingya telah dibunuh oleh pasukan keselamatan Myanmar, menurut laporan Agensi Pembangunan Antarabangsa Ontario (OIDA).

Lebih 34,000 orang Rohingya telah dibakar manakala lebih 114,000 lagi dibelasah, menurut laporan OIDA yang bertajuk “Forced Migration of Rohingya: The Untold Experience.”

Kira-kira 18,000 wanita dan kanak-kanak perempuan etnik Rohingya telah dirogol oleh tentera serta polis Myanmar manakala lebih 115,000 rumah mereka dibakar dan 113,000 lagi dirosakkan, katanya. — BERNAMA

Leave a Reply