300 SUKARELAWAN MVM BANTU MANGSA BANJIR, SUMBANG LEBIH 20 TAN BARANG BANTUAN

KUALA LUMPUR: Lebih 300 sukarelawan Muslim Volunteer Malaysia (MVM) turun padang dalam membantu rakyat Malaysia yang terkesan dengan banjir di kawasan sekitar Selangor dan Pahang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MVM, Mohd Fauzan Abdul Sukor, lebih 20 tan barang pelbagai jenis diberikan kepada mangsa banjir termasuk bekalan air mineral, barangan asas, kit kebersihan, kit pembersihan rumah, kit ibadah, bahan mentah untuk Dapur Rakyat dan sebagainya.

“MVM antara NGO yang aktif membantu sejak hari pertama banjir yang bermula di Selangor pada 17 Disember yang lalu.

“Kesemua bantuan ini diagihkan di kawasan bencana di Selangor dalam daerah Kapar, Klang, Shah Alam, Banting, Sepang dan Hulu Langat manakala di Pahang di daerah Mentakab, Temerloh dan Maran,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Fauzan berkata, MVM telah mengatur gerak sukarelawannya ke lokasi bencana secara berperingkat bagi kerja-kerja menyelamat, pengagihan bantuan, pembersihan pasca banjir dan baik pulih pendawaian rumah mangsa.

Katanya, koordinasi bantuan telah disusun bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM) , Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan lain-lain.

Turut sama dalam menggerakkan sukarelawan adalah dari My Aqsa Defenders, Khidmat Malaysia, Jabatan Amal Malaysia, Murtadha Dakwah Centre, The Duck Group dan Ummah Care.

“Selain itu juga, operasi bantuan ini juga turut mendapat kerjasama penajaan daripada Aksi Cepat Tanggap (ACT) Indonesia, Aman Palestin dan Khidmat Malaysia Klang,” katanya.

MVM telah merancang untuk melaksanakan projek bantuan jangka panjang dalam membaik pulih rumah-rumah mangsa banjir yang terjejas.

Projek tersebut melibatkan peruntukan awal sebanyak RM200,000 menerusi kempen tajaan awam yang dibuka kepada orang ramai.

Orang ramai boleh menyumbang dengan melayari http://www.mvm.org.my atau menghubungi aplikasi Whatsapp MVM bernombor 017-8074337 untuk maklumat lanjut.—AlHijrah Online

Leave a Reply