47 KES AJARAN SESAT DILAPOR DALAM TEMPOH 21 BULAN

Sumber Gambar : BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sebanyak 47 kes pemujaan salah yang bertentangan dengan ajaran Islam dilaporkan sejak Januari 2020 hingga September 2021.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, bagi tahun 2020 sebanyak 33 kes dilaporkan melibatkan pemujaan salah, ajaran salah, doktrin palsu dan dakwaan palsu manakala 14 kes lagi dari Januari hingga September tahun ini.

Justeru, beliau berkata, bagi mengatasi isu penyelewengan akidah dalam kalangan umat Islam itu, beberapa langkah telah dilakukan kerajaan.

“Pertamanya, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam aspek penyelidikan mengenai ajaran dan doktrin yang meragukan atau disyaki menyeleweng daripada agama Islam.

“JAKIM juga telah mengadakan pertemuan dan sesi dialog secara tertutup bersama kumpulan atau individu yang terlibat dengan ajaran yang meragukan,” katanya.

Katanya, JAKIM akan melaksanakan kajian secara menyeluruh dari sudut kesan dan implikasi sebelum sesuatu ajaran atau doktrin itu diberi pandangan hukum oleh Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI).

Mengulas lanjut, Jabatan Mufti Negeri mengeluarkan fatwa mengenai sesuatu ajaran megikut peruntukan dan bidang kuasa masing-masing berpandukan kepada pandangan hukum oleh Muzakarah MKI dan perbincangan di peringkat Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Negeri-Negeri.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria yang bertanya mengenai jumlah ajaran sesat yang dilaporkan sepanjang 2020 dan sehingga suku ketiga tahun ini serta usaha berterusan yang dilaksanakan kerajaan bagi mencegah penyebaran ajaran sesat. –AlHijrah Online

Leave a Reply