TANGKAPAN ULAR DIJANGKA MENINGKAT KETIKA PERALIHAN MONSUN TIMUR LAUT

KUALA NERUS: Sebanyak 5,797 kes tangkapan ular melibatkan pelbagai spesis telah direkodkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu bermula dari bulan Januari hingga setakat Oktober ini.

Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, tangkapan paling banyak adalah melibatkan spesies ular sawa dan senduk.

Kata Rosman, pihaknya menjangkakan kes tangkapan reptilia itu akan meningkat sepanjang peralihan Monsun Timur Laut tidak lama lagi.

Ujarnya, hidupan liar ini akan keluar mencari lokasi baru susulan habitat mereka diancam banjir dan kebanyakan kes direkodkan membabitkan kediaman penduduk.

“Nasihat saya kepada penduduk agar memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih sebab ular suka tempat lembab dan sejuk.

Jadi, kebarangkalian ular-ular ni menumpang di rumah-rumah adalah sangat tinggi pada musim Monsun Timur Laut nanti,” katanya.

Tambahnya lagi, lebih 300 anggotanya sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kes kecemasan termasuk tangkapan haiwan berbisa dan sebagainya.

Sementara itu Rosman berkata, bagi menghadapi bencana banjir pada kali ini, lebih 580 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir disediakan dimana 80 peratus melibatkan bangunan sekolah.

Jelasnya, seramai 550 anggota bersama aset termasuk bot bersedia digerakkan bagi menghadapi peralihan Monsun Timur itu sekiranya ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan bagi menghadapi Monsun Timur Laut di Perkarangan Pejabat APM Kuala Nerus siang tadi. –AlHijrah Online

Leave a Reply