48 SAMAN DIKELUARKAN KEPADA INDIVIDU HENTIKAN KENDERAAN DI JALAN TEMIANG-PANTAI

SEREMBAN: Polis telah mengeluarkan sebanyak 48 saman kepada pengguna jalan raya yang memberhentikan kenderaan di Jalan Temiang-Pantai, di sini, bagi tujuan bergambar.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, antara kesalahan tertinggi direkodkan adalah meletakkan kenderaan di bahu jalan atau lorong kecemasan dengan tujuan bergambar dan berkumpul.
“Hendak ambil gambar tidak jadi masalah, tetapi jangan sampai meletak kenderaan di bahu jalan dan lorong kecemasan sehingga mengganggu kelancaran trafik dan mengundang risiko tinggi berlakunya kemalangan.
“Setakat ini, tiada kes kemalangan direkodkan berlaku di kawasan tersebut,” katanya dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.
Sementara itu, beliau memaklumkan aktiviti berbasikal dan ‘jogging’ di kawasan tersebut dibenarkan selagi tidak menganggu keselamatan lalu lintas serta tidak membahayakan orang lain.—AlHijrah Online