AKHLAK TERPUJI BENTENG HINDARI AMALAN KORUPSI

Oleh: Datuk Dr Luqman Abdullah & Muhammad Ammar Harith Idris

Sejak akhir-akhir ini, terdapat banyak laporan mengenai jenayah korupsi seperti penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dana, pecah amanah dan rasuah. Berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun 2021, Malaysia telah mencatatkan skor yang rendah sehingga jatuh pada kedudukan yang ke-62 berbanding 58 pada tahun yang sebelumnya. Hal ini secara tidak langsung menimbulkan persepsi serta gambaran yang negatif terhadap negara. Lebih-lebih lagi apabila jenayah rasuah mula dilihat sebagai suatu yang normal. Perbuatan-perbuatan seperti memberi suapan, duit kopi dan pemberian “hadiah” pula tidak dianggap sebagai kesalahan.

Bagi pihak kerajaan beberapa langkah telah diambil dalam membendung jenayah rasuah. Antaranya penggubalan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, perangkaan Pelan Integriti Nasional (PIN), Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP), penubuhan Pusat Governans, Integriti & Anti-Rasuah (GIACC) dan lain-lain. 

Pada masa yang sama, para agamawan juga telah memberikan nasihat-nasihat melalui ceramah, khutbah dan perkongsian di media sosial. Pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) juga mengambil inisiatif dengan menghasilkan beberapa bentuk penulisan mengenai rasuah sebagai panduan kepada masyarakat. Antara tujuannya adalah bagi membimbing masyarakat agar menghindari rasuah dan pintu-pintu yang boleh mendorong ke arahnya kerana ia termasuk dalam kategori dosa besar di sisi syariat Islam. 

Semua pihak mencadangkan pelbagai langkah terbaik dalam usaha mencegah jenayah ini.  Walau apa pun cadangan yang diutarakan perkara asas yang kita semua boleh sepakati  bahawa faktor yang mendorong terhadap penglibatan rasuah adalah kerana ketirisan dari sudut integriti, etika kerja, sifat tamak dan sebagainya.

Oleh itu, selain daripada penekanan terhadap aspek penguatkuasaan undang-undang, pembudayaan nilai-nilai murni dalam kehidupan juga amat penting dalam melahirkan masyarakat yang memiliki jati diri yang tinggi. Sebagai umat Islam, selain daripada aspek aqidah dan syariah, perkara-perkara yang bersangkutan dengan tingkah laku dalam kehidupan juga amat dititik beratkan. Akhlak menjadi ukuran terhadap sejauh mana komitmen individu untuk mengamalkan syariat dalam kehidupan mereka.

Dalam konteks pengukuran tahap keagamaan, individu yang memiliki komitmen yang tinggi terhadap agama adalah mereka yang membuktikan keimanan mereka kepada Allah SWT dengan mentaati setiap perintah dan larangan daripadaNya. Oleh itu, orang-orang yang benar beriman bukan sahaja melaksanakan kewajipan asas sebagai seorang Muslim, bahkan turut menampilkan akhlak yang terpuji berdasarkan kemuliaan akhlak Rasulullah SAW.  

Perkara ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW, baginda bersabda:

Sesungguhnya aku telah diutus bagi menyempurnakan akhlak yang baik”.

Imam al-Ghazali menjelaskan secara terperinci mengenai akhlak. Antaranya berdasarkan pembahagian sifat warak kepada beberapa kategori iaitu memelihara diri daripada perkara-perkara yang telah diharamkan menerusi fatwa para fuqaha’ (al-‘udul), mencegah diri daripada perkara-perkara syubhah yang boleh membawa kepada haram (al-salihin), menjauhi perkara-perkara harus yang boleh jatuh kepada haram (al-muttaqin) dan mengelakkan diri daripada sebarang perkara yang boleh menjejaskan niat untuk bertaqwa kepada Allah (al-siddiqin).  

Pembahagian tersebut memberi penekanan terhadap pembinaan karakter individu yang berakhlak, beretika serta mempunyai jati diri yang tinggi amat penting dalam membentuk masyarakat yang menolak amalan korupsi dan rasuah. Sehubungan itu, proses-proses seperti internalisasi dan sosialisasi berhubung pengharaman rasuah atau kerosakannya dalam kehidupan perlu dimulakan sejak dari awal lagi.

Dalam konteks kekeluargaan, ibu bapa dan keluarga wajar mendidik anak-anak mereka dengan nilai-nilai murni terutamanya dalam urusan yang melibatkan pengurusan wang, pertukaran barang, pemberian hadiah dan lain-lain. Hal ini demikian kerana, sejak dari usia yang kecil lagi anak-anak perlu didedahkan secara tidak langsung dengan jalan-jalan yang boleh mendorong kepada dosa serta jenayah rasuah. Selain itu, ibu bapa juga boleh menerapkan nilai kebencian terhadap rasuah dan salah guna kuasa dengan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang jahat, berdosa besar dan akan diberikan balasan buruk pada hari Akhirat kelak. Perkara ini juga secara tidak langsung dapat membantu melahirkan kebencian terhadap rasuah kerana menganggap ia sebagai kesalahan yang besar dalam agama dan norma setempat. 

Selain itu, para agamawan dan pemimpin masyarakat juga wajar menekankan isu adab dan akhlak dalam membimbing masyarakat untuk meningkatkan amalan-amalan kebaikan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT serta memelihara diri daripada perbuatan-perbuatan maksiat serta dosa. Penekanan sudah tentu dapat mengajak masyarakat untuk menjauhi perbuatan yang terkutuk seperti korupsi, penyelewengan kuasa, rasuah dan sebagainya. 

Penekanan yang sama perlu dibawa dalam sistem Pendidikan. Institusi pendidikan sama ada di peringkat sekolah dan pengajian tinggi wajar untuk merangka suatu pengajian khusus mengenai jenayah kolar putih dalam silibus pengajian yang menekankan aspek etika dan akhlak. Hal ini bagi memberikan kefahaman kepada para pelajar tentang latar belakang jenayah ini, ciri-ciri serta jalan-jalan yang boleh mendorong ke arahnya. 

Pihak kerajaan juga perlu dilihat memainkan peranan yang bersungguh-sungguh dalam menghadapi isu korupsi seperti mengenakan tindakan yang tegas terhadap mana-mana individu berprofil tinggi untuk mengelak gambaran massa yang melihat tiada keseriusan dalam mengubah keadaan yang ada walaupun pelbagai usaha yang dilakukan. Budaya yang fasid ini jika gagal dikikis dan  sentiasa wujud dalam masyaraka, sudah tentu akan terus mencalarkan nama baik negara di persada antarabangsa.

Oleh yang demikian, usaha membanteras jenayah perlu dilaksanakan secara menyeluruh. Antaranya adalah dengan memfokuskan terhadap pembinaan karakter individu serta masyarakat yang berkualiti, memiliki jati diri yang tinggi dan mempunyai etika yang baik dalam menjalani kehidupan seharian. Pengabaian terhadap aspek akhlak dan adab dalam kehidupan inilah yang kemudiannya mendorong seseorang itu untuk melibatkan diri mereka dalam jenayah seperti korupsi.

Penulis, Datuk Dr Luqman merupakan Mufti Wilayah Persekutuan manakala Muhammad Ammar Harith Idris merupakan Pegawai Penyelidik, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply