
RAMALLAH/ISTANBUL: Seramai 5,209 pendatang haram Israel menceroboh kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki sepanjang Ogos, manakala tentera Israel membunuh dua rakyat Palestin dan menahan 114 yang lain termasuk lima kanak-kanak.
Menurut laporan bulanan Pentadbiran Baitulmuqaddis yang dipetik Anadolu Ajansi, pencerobohan ke kompleks Al-Aqsa semakin meningkat sepanjang Ogos, termasuk pelaksanaan ritual keagamaan Yahudi di dalam kompleks itu dan sekitar pintu masuknya di bawah perlindungan langsung polis Israel.
Sebanyak 5,209 pencerobohan direkodkan sepanjang bulan berkenaan. Jumlah harian tertinggi dicatatkan pada 13 Ogos apabila seramai 751 pendatang haram Israel memasuki kompleks tersebut.
Pihak berkuasa Israel turut mengeluarkan lima perintah yang melarang rakyat Palestin memasuki Al-Aqsa.
Sejak 2003, polis Israel membenarkan pendatang haram Israel memasuki kompleks masjid berkenaan.
Jabatan Wakaf Islam di Baitulmuqaddis menegaskan bahawa Al-Aqsa merupakan tempat suci khusus bagi umat Islam dan berulang kali menuntut supaya pencerobohan berkenaan dihentikan.
Dalam pada itu, Pentadbiran Baitulmuqaddis berkata dua rakyat Palestin dibunuh, 83 lagi cedera dan 114 ditahan termasuk lima kanak-kanak akibat tindakan tentera Israel.
Sebanyak 44 serangan oleh pendatang haram Israel terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka turut direkodkan.
Selain itu, 40 operasi perobohan dan pembersihan tanah yang menyasarkan rumah, struktur serta tanah di Baitulmuqaddis direkodkan, selain 86 notis dan perintah perobohan atau menghentikan kerja.
Perkembangan itu berlaku ketika media Israel melaporkan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berusaha meningkatkan ketegangan bagi meraih sokongan parti berhaluan kanan menjelang pilihan raya Knesset pada 27 Okt.
Rakyat Palestin menuduh Israel memperhebat langkah yang bertujuan mengubah identiti Baitulmuqaddis yang diduduki supaya lebih bercirikan Yahudi, termasuk kompleks Masjid Al-Aqsa, serta menghapuskan identiti Arab dan Islamnya.
Bandar, pekan dan kem pelarian di Tebing Barat yang diduduki termasuk Baitulmuqaddis terus berdepan serbuan dan penahanan berulang kali oleh Israel, selain peningkatan serangan pendatang haram Israel terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka sejak Israel melancarkan genosid di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023. — AlHijrah Online