Connect with us

ALHIJRAH NEWS

MALAYSIA TAWAR BANTU PEMBENIHAN AWAN EKORAN JEREBU INDONESIA

DUNIA

MALAYSIA TAWAR BANTU PEMBENIHAN AWAN EKORAN JEREBU INDONESIA

Malaysia dan Indonesia bersetuju mempergiat langkah pencegahan serta pemadaman kebakaran bagi menangani isu jerebu rentas sempadan.

Sumber Gambar: BERNAMA 

JAKARTA: Indonesia mengesahkan kerjasama dengan Malaysia sedang dijalankan bagi menangani jerebu rentas sempadan, dengan usaha ketika ini memberi tumpuan kepada operasi pembenihan awan di kawasan sempadan.

Kerjasama itu susulan kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Barat yang menjejaskan kualiti udara di Sarawak.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) hari ini di beberapa kawasan mencecah 195, hampir kepada paras sangat tidak sihat iaitu 201.

Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurangan Bencana (BNPB) Berton Panjaitan berkata perbincangan dua hala dengan Malaysia sedang diteruskan, termasuk berkaitan pencegahan, pemantauan dan sokongan operasi pembenihan awan.

“Mengenai isu jerebu, komunikasi dengan negara jiran terus berjalan. Perbincangan dua hala dengan Malaysia telah diadakan dan kami bersetuju untuk memperkukuh kerjasama termasuk dari segi pencegahan, pemantauan serta sokongan bagi operasi pembenihan awan,” katanya kepada Bernama.

Kata beliau, Malaysia turut menawarkan bantuan untuk memadamkan kebakaran, namun Jakarta belum membuat permohonan rasmi bagi aset pemadaman secara langsung seperti bantuan pengeboman air.

Sebelum ini, Malaysia dan Indonesia bersetuju mempergiat langkah pencegahan serta pemadaman kebakaran bagi menangani isu jerebu rentas sempadan 24 Ogos lalu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata Indonesia turut memberi kebenaran kepada Malaysia untuk memasuki ruang udaranya bagi menjalankan operasi pembenihan awan.

Jerebu itu turut menjejaskan beberapa kawasan di Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak yang merekodkan kualiti udara tidak sihat.

Sementara itu, Konsulat Malaysia di Pontianak memaklumkan keadaan jerebu di Kalimantan semakin buruk tahun ini.

“Situasi jerebu semakin buruk hari ini,

“Kami mematuhi semua arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan termasuk memakai pelitup muka, mengalihkan pembelajaran sekolah secara dalam talian serta mengurangkan pergerakan atau aktiviti luar kecuali jika perlu,” katanya.

Menurut konsulat itu, seramai 577 rakyat Malaysia berdaftar di Kalimantan Barat, dengan sebahagian besar warga Malaysia yang menetap di seluruh Kalimantan merupakan golongan ekspatriat.

Sebelum ini, Malaysia turut membantu usaha pemadaman kebakaran di kawasan berkenaan apabila konsulat menyumbangkan enam pam air kepada Pejabat Gabenor Kalimantan Barat pada 2023. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading