563 GURU TOLAK VAKSIN TERMASUK ALASAN FAKTOR KESIHATAN

Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU: Sejumlah 563 guru di Johor menolak untuk menerima vaksin dengan alasan atas faktor kesihatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor Mazlan Bujang berkata daripada jumlah itu terdapat kira-kira 200 guru enggan divaksin walaupun tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.

Menurutnya, terdapat juga guru wanita yang sedang hamil enggan menerima vaksinasi atas kebimbangan terhadap kandungan serta kesihatan mereka.

“Ada guru wanita yang hamil bimbang suntikan itu memberi kesan dan kita juga tidak paksa mereka. Namun, guru tersebut berjanji mengambil suntikan vaksin selepas bersalin sekali gus menegaskan bukan anti vaksin,” katanya.

Sebelum ini, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Ibrahim telah mengadakan pertemuan dengan 779 guru pada 27 Ogos lalu selepas Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) mendedahkan sejumlah guru di Johor menolak untuk divaksinasi.

Mazlan memaklumkan isu guru yang masih ingkar serta menolak vaksinasi akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan bagi tindakan lanjut.

Namun jelasnya, pendekatan berhemah dengan memberi penjelasan dan penerangan berkenaan vaksinasi akan terus dilakukan dalam usaha memberi kefahaman yang jelas kepada mereka.

Sementara itu, Mazlan menjunjung kasih dengan keprihatinan TMJ yang sanggup bertemu guru yang enggan divaksin itu.

“Kita lihat selepas perjumpaan Tunku Ismail jumlah guru menolak vaksin berkurangan dan perjumpaan ini menampakkan kesannya.

“Tunku Ismail semasa pertemuan itu berkongsi pengalaman, suasana (mengambil vaksin) dan memberitahu persepsi dan pendapat baginda sendiri,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply