SAJJAD DITAHAN DI THAILAND

KUALA LUMPUR: Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand, pada 8 September lalu.

Memetik laporan Harian Metro, pihak berkuasa Thailand telah menahan Nur Sajat, 36, selepas pihak berkuasa Malaysia memaklumkan tentang keberadaannya di Bangkok, Thailand.

Sumber memaklumkan Nur Sajat bersama seorang lelaki yang juga berperwatakan wanita warga Thailand ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok.

ARTIKEL BERKAITAN – PDRM SAHKAN SAJJAD DITANGKAP

“Pada 4 Jun, pihak imigresen Thailand mengesan lokasi persembunyian Nur Sajat iaitu di sebuah kondo mewah di tengah Bangkok.

“Selepas risikan dan intipan dilakukan, pada 8 September sekitar jam 6 petang (waktu Thailand) serbuan dilakukan di lokasi persembunyiannya dan Nur Sajat ditahan sementara semakan pihak imigresen Thailand mengesahkan dia adalah individu yang melarikan diri serta dikehendaki pihak berkuasa Malaysia.

“Malah, pasport milik usahawan kosmetik itu juga sudah dibatalkan kerajaan Malaysia,” kata sumber tersebut.

Jelasnya, Nur Sajat telah dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di negara tersebut.

“Pada 9 September atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand. Nur Sajat bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

“Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Nur Sajat,” katanya.

Sumber Harian Metro memaklumkan Nur Sajat masih berlindung di kondominium mewah di Bangkok.

“Walaupun dia dibebaskan dengan jaminan, Nur Sajat diarahkan untuk hadir ke pejabat imigresen Thailand setiap 14 hari,” katanya.

Berdasarkan laporan, pihak berkuasa Malaysia sedang berunding dengan kerajaan Thailand untuk membawa pulang Nur Sajat ke negara ini.

“Usaha membawanya pulang untuk menghadapi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah di Selangor atas kesalahan berpakaian wanita yang dilakukannya di Shah Alam pada tahun 2018 itu sedang berlangsung.

“Rundingan agak sukar tetapi kita tetap optimis untuk membawanya pulang. Sukar disebabkan ada campur tangan pihak antarabangsa membabitkan negara dan pertubuhan tertentu yang menghalangnya,” katanya.—AlHijrah Online

2 comments

Leave a Reply