PESAKIT COVID-19 PELUK ISLAM, FRONTLINERS BANTU UCAP SYAHADAH

SANDAKAN: Seorang pesakit COVID-19 beragama Kristian memeluk agama Islam di katil hospital tempatnya selepas mengucap dua kalimah syahadah yang dibantu jururawat, di Hospital Duchess of Kent (HDOK), di sini, Sabah.

Menerusi sebuah video yang tular di sosial media, Nur Laila, 66 tahun yang merupakan pesakit COVID-19 terbaring di atas katil dengan menggunakan alat bantuan pernafasan, pernah menyatakan hasrat untuk memeluk Islam selepas empat daripada lima anaknya serta adik-beradiknya juga telah memeluk Islam.

Menurut anak sulungnya, Firdaus Fringco Abdullah, 45, ibunya berketurunan Dusun dan dilahirkan dalam agama Kristian dari Beluran.

“Kami (keluarga) membuat panggilan video minggu lepas dan pada masa itu ibu menyatakan niatnya (untuk memeluk Islam) yang menyentuh hati kami,” katanya bagi menjelaskan tanggapan yang timbul bahawa ibunya memeluk Islam tanpa pengetahuan ahli keluarganya.

Jelasnya, Firdaus masih rasa bertanggungjawab bagi menjelaskan perkara tersebut menerusi Facebook kerana ibunya masih mempunyai saudara-mara yang bukan Muslim.

Memetik laporan BERNAMA, Firdaus telah menghubungi seorang pegawai di hospital itu memohon sekiranya ibunya boleh dibimbing untuk mengucap dua kalimah syahadah di atas katil hospital dan kira-kira 4 petang 9 September lepas, ibunya sah bergelar saudara baru.

Nur Laila yang menghidap penyakit buah pinggang dan sudah menerima vaksinasi lengkap, telah dimasukkan ke hospital pada 4 September dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Alhamdulillah, ibu saya semakin pulih dengan tiada lagi batuk dan dia juga boleh merasa makanan sekarang. Ibu tidak ditidurkan dan tidak dirawat di unit rawatan rapi,” katanya.

Firdaus berkata ibunya masih belum dibenarkan untuk keluar dari hospital kerana masih dalam pemantauan berikutan keadaan buah pinggangnya.

Beliau berterima kasih kepada pihak hospital serta kakitangan kesihatan atas dedikasi mereka dalam merawat pesakit COVID-19 termasuk penjagaan rawatan ibunya di hospital tersebut.

“Mereka (hospital dan kakitangan kesihatan) wajar diiktiraf sepanjang masa. Perkhidmatan mereka melangkaui tugas yang bukan hanya perubatan tetapi juga kemanusiaan,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply