PEMANDU LAWAN ARUS BERDEPAN HUKUMAN GANTUNG SAMPAI MATI

SHAH ALAM: Lelaki yang memandu kenderaan secara melawan arus di Lebuhraya Persekutuan hingga menyebabkan kematian dua remaja pada 12 September lalu, didakwa membunuh di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Tertuduh, K Devaaswin berusa 24 tahun mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkod daripada tertuduh.

Suspek dituduh menyebabkan kematian Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19 dan Nur Afiqah Abdul Karim, 18, selepas kereta Proton Wira Aeroback dinaiki mereka dirempuh kenderaan pacuan empat roda yang dipandu secara melawan arus di Lebuhraya Persekutuan arah Klang-Kuala Lumpur, jam 1.05 pagi pada hari kejadian.

Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan tarikh 21 Oktober depan bagi serahan laporan kimia serta bedah siasat.—AlHijrah Online

Leave a Reply