AGENSI AGAMA BANTU MANGSA BANJIR PANTAI TIMUR

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyerahkan barangan Ready To Eat (RTE) kepada mangsa banjir.

KUALA LUMPUR: Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah digerakkan bagi membantu mangsa banjir di pantai timur yang telah menjejaskan lebih 50,000 orang setakat 20 Disember 2022.

Terengganu menjadi negeri tertinggi jumlah mangsa banjir iaitu seramai 39,108 orang diikuti Kelantan dengan 26,630 mangsa banjir.

Antara agensi yang telah mula memberikan bantuan kepada mangsa banjir ialah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang telah menyerahkan barangan Ready To Eat (RTE) kepada mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu.

Menurut YaPEIM rata-rata penerima menghargai sumbangan awal berbentuk makanan kepada mangsa yang terputus bekalan makanan.

Selain itu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) juga telah mengerakkan petugas untuk membantu mangsa banjir dengan membuka dapur rakyat di 20 lokasi panas banjir di pantai timur.

Petugas Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut diarahkan turun ke pelbagai lokasi banjir bagi membantu mangsa selain menyerahkan barangan keperluan.

TV AlHijrah melalui skuad Hijrah Prihatin juga akan digerakkan ke lokasi-lokasi banjir bagi menghulurkan bantuan yang diperlukan.

Selain pantai timur, banjir turut berlaku di Perak dan Johor yang menjejaskan lebih 100 mangsa. – AlHijrah Online

Leave a Reply