Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

AHMAD FAUWAZ MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN BAHARU

DALAM NEGARA

AHMAD FAUWAZ MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN BAHARU

Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu, berkuat kuasa 23 Mei 2025.

KUALA LUMPUR: Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu, berkuat kuasa 23 Mei 2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, pelantikan tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Ini mencerminkan keyakinan dan harapan tinggi kepimpinan negara terhadap kebolehan dan kewibawaan Sahibus Samahah dalam mengemudi institusi fatwa dengan penuh integriti dan hikmah.

“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan dan semoga Allah SWT memberkati pelantikan ini dan memberikan kekuatan kepada beliau untuk menjalankan amanah ini dengan penuh hikmah, integriti dan istiqamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fauwaz merupakan seorang tokoh ilmuwan Islam yang prolifik dalam bidang perundangan Islam, pendidikan, kewangan Islam, dakwah dan penyelidikan.

Berkelulusan Sarjana Muda Syariah Islamiyyah dari Universiti Al-Azhar, Mesir, Ahmad Fauwaz juga telah menyempurnakan pengajian Sijil Profesional Fatwa di Dar al-Ifta’, Mesir, selain memiliki Ijazah Sarjana Usul Fiqh dari Universiti Malaya dan pensijilan antarabangsa seperti Certified Sharia Advisor and Auditor (CSAA) oleh AAOIFI.

Mohd Naim berkata, Ahmad Fauwaz aktif menyumbang dalam pelbagai institusi termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), institusi kewangan dan akademik.

“Kepakaran beliau dalam bidang Usul Fiqh, Fiqh Muamalat, Fiqh Perubatan serta kefahaman Fiqh kontemporari amat diperlukan dalam membentuk dasar-dasar hukum Islam yang seimbang, berlandaskan Maqasid Syariah dan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI”.

“Sebagai ilmuwan yang sering muncul dalam media dan forum ilmiah, beliau dikenali sebagai tokoh yang mampu menjelaskan isu-isu keagamaan semasa secara tuntas, inklusif dan bersifat mendidik,” katanya.

Ujar Mohd Naim, beliau yakin dan percaya Ahmad Fauwaz akan memperkukuh lagi peranan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sebagai institusi autoritatif yang menjadi rujukan umat Islam di Malaysia.

Ahmad Fauwaz bergiat aktif dalam menyebarkan dakwah di pelbagai platform termasuk TV AlHijrah menerusi program Fiqh Al-Mizan.—AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading