AMRIN AWALUDDIN CEO BAHARU TH

Sumber Gambar: The Edge Markets

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Amrin Awaluddin dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) baharu, bermula 6 Mei 2021.

Pelantikan tersebut dipersetujui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta disahkan oleh Lembaga TH.

Ia susulan Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff melepaskan jawatannya sebagai Ahli Lembaga, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif yang mula berkuatkuasa 5 Mei 2021.

Sebelum ini, Amrin Awaluddin merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan beliau akan menggantikan Datuk Nik Mohd Hasyudeen yang telah menerajui TH semenjak 1 September 2019.

Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Acadia, Kanada dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dengan kepujian dari University of Hull, England.

Selain itu, beliau juga merupakan ahli Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA), UK dan Akauntan Bertauliah Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Menurut Pengerusi TH, Tan Sri Md Nor Yusof, beliau yakin dengan kemahiran dan pengalaman luas yang dimiliki oleh Amrin Awaluddin akan dapat membawa TH ke tahap yang lebih cemerlang dan membanggakan.

Md Nor turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Nik Mohd Hasyudeen atas komitmen serta usaha beliau dalam memajukan TH sebagai institusi Islam yang dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus yang baik.–AlHijrah Online

Leave a Reply