
KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya yang ketika kejadian berusia 11 tahun 10 bulan.
Tertuduh berusia 35 tahun itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan sebagai individu yang mempunyai hubungan amanah iaitu bapa kandung, bagi tujuan seksual.
Bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah unit pangsapuri di Kuala Kubu Bharu, Rawang antara jam 9 malam hingga 10 malam pada 21 Mei serta jam 2 petang pada 22 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta serupa, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, selain hukuman tambahan penjara sehingga lima tahun serta sebatan tidak kurang dua kali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana sebelum ini dia turut didakwa di Mahkamah Kuala Kubu Bharu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas pertuduhan merogol seorang lagi anak perempuannya yang berusia 18 tahun.
“Selepas mahkamah memberikan jaminan, ahli keluarga mangsa membuat aduan bahawa tertuduh mengganggu remaja terbabit. Oleh itu, pihak pendakwaan memohon supaya mahkamah tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh,” katanya.
Peguam Muhammad Azim Hilmi Aziz yang mewakili tertuduh memohon supaya anak guamnya dibenarkan diikat jamin atas alasan pertuduhan di Mahkamah Kuala Kubu Bharu melibatkan kes yang berbeza.
“Anak guam saya tidak lagi tinggal bersama kedua-dua mangsa dan bersedia mematuhi sebarang syarat tambahan ditetapkan. Dia kini menerima rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak. Ubat yang dipreskripsikan untuk penyakitnya tidak boleh diambil di penjara kerana boleh menyebabkan kesan sampingan,” katanya.
Bagaimanapun, Hakim Norshila Kamarudin tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen. — AlHijrah Online