
KUALA LUMPUR: Empat pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kes memukul seorang remaja lelaki sehingga parah di Residensi Prima Alam Damai, Cheras pada 5 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, polis mengesan penularan rakaman video kejadian itu menerusi aplikasi WhatsApp sebelum menerima laporan daripada ibu mangsa pada jam 12.54 tengah malam hari sama.
“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah menahan kesemua suspek lelaki tempatan bagi membantu siasatan.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik salah seorang suspek yang digunakan untuk merakam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. — AlHijrah Online