
TAWAU: Seorang guru tuisyen berusia 53 tahun dijatuhi hukuman penjara 105 tahun dan 70 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas tujuh pertuduhan merogol anak perempuan sulungnya secara berulang kali antara Disember 2025 hingga Mac lalu.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan pada prosiding sebutan semula kes berkenaan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan dengan kesemua hukuman penjara berjalan secara berasingan.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan jumlah sebatan dihadkan kepada 24 kali tertakluk bawah peruntukan Seksyen 288 (1) Kanun Tatacara Jenayah.
Keputusan terbaharu ini menjadikan keseluruhan hukuman yang perlu dihadapi lelaki berkenaan kini mencecah 280 tahun penjara dan 180 kali sebatan, selepas dia sebelum ini turut dijatuhi hukuman penjara 165 tahun dan 110 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Lahad Datu atas 11 pertuduhan di bawah seksyen sama.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun sehingga 30 tahun serta tidak kurang daripada 10 kali sebatan.
Perbuatan terkutuk itu dilakukan terhadap mangsa yang kini berusia 25 tahun di beberapa buah hotel di sini bermula Disember tahun lalu, dengan kejadian terakhir dicatatkan pada 18 dan 19 Mac lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin bersama Wildan Firdaus Ahmad Fazly mendedahkan bahawa perbuatan sumbang mahram itu sebenarnya telah bermula sejak mangsa berusia 16 tahun.
Pendakwaan turut menegaskan terdapat unsur perancangan teliti apabila tertuduh sanggup merentas jarak dari Lahad Datu ke Tawau, memintakan jadual kerja mangsa dan mengarahkan mangsa menempah bilik hotel.
Pihak pendakwaan berhujah bahawa tindakan tertuduh merupakan kesalahan seksual paling serius yang bukan sahaja meragut maruah serta memusnahkan institusi kekeluargaan, malah mengkhianati amanah serta kepercayaan seorang anak terhadap bapa kandungnya sendiri.
Terdahulu dalam rayuannya, tertuduh menyatakan rasa malu, takut dan benar-benar menyesali perbuatannya sambil memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan.
“Saya benar-benar bertaubat dan sangat menyesal. Mudah-mudahan saya menjadi orang terakhir yang melakukan perkara seperti ini selain berharap diberi peluang sekiranya dibebaskan kelak untuk bertemu anak-anak serta keluarga bagi memohon maaf kepada mereka,” katanya. — AlHijrah Online