
JOHOR BAHRU: Seorang remaja perempuan Rohingya berusia 19 tahun akan didakwa di Mahkamah Johor Bahru hari ini atas pertuduhan membunuh selepas dipercayai mencampakkan janin bayi dari tingkap sebuah hotel di Bukit Indah.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata siasatan mendapati janin yang ditemukan di dalam bungkusan plastik hitam berhampiran Taman Nusa Idaman pada 5 Julai lalu merupakan anak kepada suspek.
Beliau berkata bayi itu dilahirkan hasil hubungan suspek dengan bekas teman lelakinya.
“Siasatan mendapati suspek telah melahirkan bayi tersebut di dalam tandas bilik hotel berdekatan sebelum memasukkannya ke dalam beg plastik warna hitam.
“Remaja itu kemudian membuangnya melalui tingkap bilik di tingkat dua hotel ke lorong di bawah bangunan hotel iaitu lokasi bayi itu ditemukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, polis menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu pada pukul 2.39 pagi, 5 Julai lalu.
Susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di lokasi penemuan bayi serta remaja terbabit di sebuah hotel di kawasan Bukit Indah kira-kira pukul 4 pagi hari yang sama.
“Kedua-dua suspek didapati negatif dadah hasil ujian saringan air kencing. Semakan rekod jenayah pula mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah, manakala suspek remaja tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya.
Hasil siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor yang mengarahkan remaja perempuan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi, tidak terlibat dalam perlakuan jenayah serta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak berkuasa. — AlHijrah Online