
KLUANG: Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemukan maut dengan kesan tikaman pada bahagian dada di dalam mangkuk tandas sebuah rumah teres dua tingkat yang dijadikan asrama pelajar sebuah kolej di Taman Setia Mutiara, semalam.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, mangsa ditemukan oleh seorang guru yang pergi ke rumah berkenaan untuk membuat pemeriksaan selepas dimaklumkan seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun telah melahirkan bayi di asrama tersebut.
“Mangsa merupakan seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan telah dijumpai di dalam mangkuk tandas bilik tidur utama dan mempunyai beberapa kesan tikaman di bahagian dada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis turut merampas sebilah pisau berukuran 24 sentimeter dan pakaian yang mempunyai kesan darah bagi membantu siasatan.
Kejadian terbongkar selepas pelajar perempuan terbabit dibawa oleh seorang guru ke hospital kerana dipercayai tidak sihat. Pemeriksaan mendapati dia baru melahirkan seorang bayi dan masih mengandungkan seorang lagi bayi.
Pelajar itu kemudian dirujuk ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom dan kini menerima rawatan selepas selamat melahirkan seorang lagi bayi perempuan.
Susulan kejadian, polis menahan teman lelaki pelajar terbabit yang juga berusia 19 tahun pada kira-kira jam 10.30 malam di sekitar Kluang.
“Berdasarkan hasil soal siasat, suspek mengaku memberikan wang RM450.00 kepada teman wanitanya untuk menggugurkan kandungan,” katanya.
Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 5 Ogos bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 315 kanun sama kerana perbuatan dengan niat menghalang anak daripada dilahirkan hidup. –AlHijrah Online