
KAJANG: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa empat penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Perlop, Perak yang melarikan diri berada di sekitar Bandar Baru Bangi.
Menurut AADK, keempat-empat penghuni terbabit telah berjaya ditangkap semula di sekitar daerah Sungai Siput, Perak hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk kampung.
Jelas agensi itu, mesej yang tular sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk Bandar Baru Bangi adalah palsu kerana kesemua penghuni hanya berada di sekitar Sungai Siput sebelum diberkas semula.
Susulan insiden itu, AADK memaklumkan siasatan dalaman sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, termasuk menyiasat kemungkinan berlaku kecuaian atau ketidakpatuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Tindakan tatatertib dan undang-undang akan diambil sekiranya terdapat unsur kecuaian dalam kalangan kakitangan yang terlibat,” katanya.
Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih kerana boleh mencetuskan keresahan awam. Penyebaran berita palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta peruntukan undang-undang lain yang berkuat kuasa.— AlHijrah Online