Connect with us

ALHIJRAH NEWS

KANAK-KANAK 10 TAHUN DIKERAH JAGA KEDAI RUNCIT DALAM TAPAK PEMBINAAN

DALAM NEGARA

KANAK-KANAK 10 TAHUN DIKERAH JAGA KEDAI RUNCIT DALAM TAPAK PEMBINAAN

Kanak-kanak terbabit menjaga kedai runcit itu selepas ibunya yang sebelum ini menguruskannya pulang ke Indonesia sejak lima hari lalu.

 

 

MELAKA TENGAH: Operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah tapak pembinaan di Bukit Beruang, Melaka, pada Rabu membongkar penemuan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dipercayai dikerah menguruskan sebuah kedai runcit di rumah kongsi tapak berkenaan.

Kanak-kanak yang dikenali sebagai Danish itu ditemui ketika operasi penguatkuasaan JIM bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menurut Danish, dia dibantu seorang wanita warga Indonesia yang dipanggilnya sebagai ‘nenek’ sementara menunggu kepulangan ibunya ke Malaysia.

“Nenek saya… kalau nenek saya sama saya, saya bantu. Kalau dah jam 11, nenek saya pergi ke atas kerja. Saya jaga kantin. Kalau dah pulang, saya bantu nenek saya untuk jaga kedai,” katanya ketika ditemui.

Ketika serbuan, wanita berkenaan sedang memasak, manakala Danish berada di salah satu daripada empat bilik yang terdapat di dalam premis kedai runcit berkenaan dan bersambung dengan rumah kongsi.

Lebih mengejutkan, bangunan sementara itu dilengkapi kemudahan seperti sistem kamera litar tertutup (CCTV), pendingin hawa, WiFi serta komputer meja yang digunakan kanak-kanak terbabit untuk bermain permainan video.

Danish mendakwa sudah hampir dua tahun berada di Malaysia selepas datang melalui laluan udara.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati kanak-kanak terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Kedai runcit itu turut mempunyai empat bilik yang dijadikan tempat tinggal.

Walaupun bahagian luarannya kelihatan seperti rumah kongsi biasa, bahagian dalam premis terbabit dilengkapi kemudahan seperti sebuah apartmen, termasuk dapur, mesin basuh, katil, komputer dengan capaian internet dan pendingin hawa.

Situasi itu bukan sahaja menimbulkan persoalan berkaitan status imigresen, malah boleh membahayakan keselamatan kanak-kanak berkenaan kerana tinggal di kawasan tapak pembinaan.

Dalam operasi sama, seramai 22 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk Seksyen 6(1)(C), salah guna pas dan Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen.

Sementara itu, dalam operasi kedua di Bukit Baru, JIM Melaka menahan 39 warga asing, terdiri daripada tujuh warga Indonesia, tiga warga Pakistan, 27 warga Bangladesh dan dua warga Myanmar.

Kesemua mereka yang berusia antara 28 hingga 35 tahun ditahan atas kesalahan berkaitan imigresen, termasuk salah guna pas, Peraturan 39(B), Peraturan 15(1)(C) dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.— AlHijrah Online

 


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading