
KUALA TERENGGANU: Lebih 57,000 pendatang tanpa izin ditahan atas pelbagai kesalahan, manakala 1,720 majikan didakwa mengikut Akta Imigresen menerusi 9,700 operasi yang dilaksanakan di seluruh negara sejak 1 Januari hingga 17 September lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, secara kumulatif, pihaknya melaksanakan tiga operasi membabitkan warga asing setiap dua jam.
Beliau menegaskan tindakan penguatkuasaan turut dikenakan terhadap majikan yang melanggar peraturan dan undang-undang imigresen.
“Saya ingin mengingatkan bahawa pendakwaan bukan hanya tertumpu kepada pendatang tanpa izin, tetapi juga terhadap majikan yang melanggar peraturan dan undang-undang.
“Selain itu, saya juga ingin menasihati orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengesan kehadiran warga asing supaya melapor secara rasmi kepada kami. Jangan ambil tindakan sendiri. Beri maklumat lengkap bagi memudahkan pihak berkuasa menjalankan tugas dengan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Operasi Bersepadu Mega di Rumah Pangsa Sri Kolam, awal pagi tadi.
Mengulas lanjut, Lokman Effendi berkata, seramai 19 pendatang tanpa izin ditahan dalam operasi berkenaan selepas pemeriksaan dilakukan terhadap 133 warga asing.
Operasi itu dilaksanakan JIM Terengganu dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu.
Individu yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga Bangladesh, 14 warga Myanmar dan empat warga Indonesia berusia antara sebulan hingga 50 tahun.
“Difahamkan, tujuh wanita warga Myanmar termasuk ibu kepada bayi berkenaan baru sahaja memasuki negara ini melalui ejen tidak sah untuk bersama dengan suami masing-masing yang ada di sini.
“Antara kesalahan yang dilakukan oleh pendatang tanpa izin yang ditahan ialah menyalahgunakan pas atau permit, tinggal lebih masa dan tiada dokumen sah. Kita juga mengesan sebuah rumah suami isteri warga Myanmar yang dipercayai dijadikan kedai runcit,” katanya. — AlHijrah Online