Connect with us

ALHIJRAH NEWS

BEKAS TIMBALAN PENGURUS BESAR PROJEK TH DIDAKWA SUBAHAT PECAH AMANAH

DALAM NEGARA

BEKAS TIMBALAN PENGURUS BESAR PROJEK TH DIDAKWA SUBAHAT PECAH AMANAH

Peguam memohon jaminan lebih rendah terhadap Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin dengan mengambil kira pendapatan tertuduh, tanggungan enam anak, selain masalah kesihatan dan jaminan RM45,000 yang telah dibayar.

Sumber Gambar: BERNAMA

KOTA BHARU: Bekas Timbalan Pengurus Besar Projek Pembinaan TH Properties Sdn Bhd, Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah wang berjumlah RM14,000.

Tengku Kamarolhisham didakwa bersubahat dengan Mohamad Hashim Mukhatap, yang ketika itu merupakan Pengurus Pembinaan THP Timur Sdn Bhd dan ejen yang diamanahkan dengan wang berkenaan.

Wang itu adalah hasil kutipan penalti daripada kontraktor Kelpile Sdn Bhd bagi projek cadangan pembinaan bangunan komersial milik Tabung Haji di Lot 273, Seksyen 12, Bandar Kota Bharu.

Projek berkenaan membabitkan bangunan setinggi 22 tingkat yang mempunyai 244 unit pangsapuri perkhidmatan, empat unit penthouse, kemudahan awam, ruang perniagaan, tempat letak kereta, sub-basement satu tingkat serta kemudahan berkaitan.

Mengikut pertuduhan, kesalahan itu didakwa berlaku antara 15 November 2017 hingga 8 Ogos 2018 di Sofea Residensi, Lot 10015, Seksyen 12, Kota Bharu.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 109 dibaca bersama Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asmah Che Wan mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tertuduh melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam Fahmi Abd Moin Khairuddin memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan memaklumkan anak guamnya sudah membayar jaminan RM45,000 serta menyerahkan pasport kepada mahkamah selepas didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur awal bulan ini.

“Tertuduh kini bekerja sendiri sejak setahun lalu dengan pendapatan kira-kira RM5,000 sebulan selain perlu menanggung enam orang anak yang masih belajar di institusi pengajian tinggi awam dan bersekolah.

“Selain itu, tertuduh juga mempunyai penyakit kencing manis, jantung, darah tinggi dan kolesterol,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam, Selangor sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 19 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jumlah jaminan berkenaan.

Mohamad Hashim sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 15 September lalu atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang RM14,000 berkenaan dengan memasukkannya ke dalam akaun bank miliknya. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading