Connect with us

ALHIJRAH NEWS

DENDA RM50 JUTA BELUM DIBAYAR, NAJIB MASIH DI PENJARA KAJANG

DALAM NEGARA

DENDA RM50 JUTA BELUM DIBAYAR, NAJIB MASIH DI PENJARA KAJANG

Najib Razak masih belum melunaskan denda RM50 juta yang ditetapkan sebagai syarat untuk menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah. Peguam Negara memaklumkan tempoh pelaksanaan tahanan rumah selepas pembayaran dibuat belum dapat dipastikan.

KAJANG: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum melunaskan denda RM50 juta yang ditetapkan sebagai syarat untuk membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, bayaran denda berkenaan perlu dibuat di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memandangkan kes itu bermula dan dibicarakan di mahkamah tersebut.

“Setakat ini, keluarga Najib belum membayar denda. Selepas pembayaran dibuat, saya tidak boleh jangka secara tepat bila Najib akan dibawa pulang ke rumah, mungkin ambil sedikit masa,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Menurut Mohd Dusuki, prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan tahanan rumah itu akan dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

Sementara itu, tinjauan media di pekarangan Penjara Kajang mendapati tiada sebarang pergerakan membabitkan bekas Ahli Parlimen Pekan berkenaan.

Najib, 73, sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Pengampunan berkenaan tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan syarat yang ditetapkan. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading