
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menetapkan tempoh sah laku maksimum Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) selama 10 tahun bagi menyeragamkan tempoh sah laku dokumen perjalanan itu.
Penetapan berkenaan dibuat susulan kekeliruan yang dihadapi sebahagian pemegang PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun ketika melakukan pendaftaran masuk dengan beberapa syarikat penerbangan di luar negara.
Dalam kenyataan media hari ini, JIM memaklumkan perkara itu telah dirujuk kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa atau International Civil Aviation Organization (ICAO).
Hasil maklumat yang diterima mendapati pelaksanaan tempoh sah laku PMA melebihi 10 tahun tidak dihalang.
“Bagi menangani kekeliruan ini, Jabatan menetapkan bahawa tempoh sah laku maksimum bagi PMA adalah selama 10 tahun sahaja.”
Menurut JIM, penetapan itu bertujuan menyeragamkan tempoh sah laku PMA, selain mengelakkan kekeliruan berkaitan keperluan tambahan tempoh sah laku enam bulan yang ditafsirkan secara berbeza oleh sesetengah syarikat penerbangan.
Sehubungan itu, JIM akan menghentikan pemberian tempoh sah laku melebihi 10 tahun sehingga isu berkenaan diselesaikan bersama pihak syarikat penerbangan dan ICAO.
Bagi pemegang PMA sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun, JIM akan memberikan penggantian pasport secara percuma dengan tempoh sah laku maksimum 10 tahun.
“Pemegang PMA sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan diberikan penggantian pasport secara percuma dengan tempoh sah laku maksimum 10 tahun.”
Selain itu, pemegang PMA yang terlibat akan diberikan keutamaan dalam urusan penggantian pasport.
JIM turut akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada semua syarikat penerbangan bagi membantu pengembara warga Malaysia yang terjejas di luar negara.
“JIM komited memastikan pelaksanaan PMA sentiasa ditambah baik bagi memberikan kemudahan kepada rakyat serta memastikan urusan perjalanan antarabangsa dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur.”– AlHijrah Online