
KUCHING: Enam sekolah di Tebedu, kawasan paling hampir dengan sempadan Malaysia-Indonesia, ditutup sementara mulai hari ini susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 akibat jerebu.
Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu diambil sebagai tindakan pencegahan selaras dengan ketetapan dan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), bagi mengutamakan keselamatan, kesihatan serta kesejahteraan warga sekolah.
Sehingga jam 10.30 pagi, sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sejijag membabitkan 51 murid dan 14 kakitangan; SK Sungai Sameran (129 murid, 21 kakitangan) serta SK Tepoi (42 murid, 15 kakitangan).
Turut ditutup ialah SK Entubuh dengan 67 murid dan 18 kakitangan, SK Temong (205 murid, 21 kakitangan) serta SK Tema yang mempunyai 85 murid dan 15 kakitangan.
JPNS menegaskan, pengetua dan guru besar tidak perlu menunggu arahan khusus daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau JPNS untuk mengambil tindakan penutupan sekolah sekiranya bacaan IPU di kawasan atau daerah masing-masing melebihi 200.
Tindakan itu berdasarkan Surat Siaran KPM Bilangan 1 Tahun 2019 mengenai langkah menjamin kesihatan dan keselamatan murid di sekolah dalam kawasan berjerebu yang dianggap kritikal.
“Sekolah perlu mengikuti perkembangan bacaan IPU dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut ketetapan KPM. Keselamatan dan kesejahteraan murid serta seluruh warga pendidikan sentiasa menjadi keutamaan,” menurut kenyataan JPNS.
Dalam pada itu, proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian akan diteruskan sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan kesinambungan pembelajaran murid tidak terjejas.
Pihak sekolah turut diminta memastikan komunikasi dengan ibu bapa dan penjaga dilaksanakan dengan baik, selain memberi perhatian terhadap kebajikan dan kesihatan murid sepanjang tempoh penutupan.
JPNS melalui PPD Serian akan terus memantau perkembangan bacaan IPU dan keadaan kualiti udara dari semasa ke semasa dengan mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa serta agensi berkaitan.
“Justeru, ibu bapa dan penjaga diminta memastikan anak masing-masing berada dalam keadaan selamat serta mengikuti makluman rasmi daripada pihak sekolah, PPD Serian dan JPNS,” menurut kenyataan itu.– AlHijrah Online