
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi memaklumkan keputusan permohonan kemasukan ke Universiti Awam bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda sesi akademik 2026/2027 untuk lepasan STPM dan setaraf akan diumumkan pada 14 Ogos.
Semakan boleh dibuat mulai jam 12 tengah hari pada 14 Ogos hingga jam 5 petang, 23 Ogos melalui portal UPUOnline dan UPU2, selain aplikasi mudah alih UPUPocket serta MyGov.
“Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA) melalui UPUOnline® bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda Sesi Akademik 2026/2027 untuk lepasan STPM/Setaraf akan diumumkan pada 14 Ogos 2026 (Jumaat).”
Bagi calon yang berjaya menerima tawaran, pengesahan setuju terima atau menolak tawaran perlu dibuat mulai 15 hingga 23 Ogos di laman web Universiti Awam masing-masing.
Surat tawaran rasmi pula akan dikeluarkan oleh Universiti Awam kepada calon yang berjaya mulai 15 Ogos, selepas pengesahan penerimaan dibuat dalam tempoh ditetapkan.
Sementara itu, hanya pemohon yang tidak berjaya mendapat tawaran boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline dalam tempoh 10 hari, bermula 14 Ogos jam 12 tengah hari hingga 23 Ogos jam 5 petang.
“Tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2026/2027 adalah MUKTAMAD dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan UA tidak dibenarkan.”
Dasar pemilihan rayuan pula tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas proses pendaftaran pelajar baharu selesai.
Sebarang pertanyaan berkaitan permohonan UPUOnline boleh diajukan terus kepada Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi. – AlHijrah Online