
KOTA BHARU: Mayat seorang daripada dua remaja lelaki berusia 14 tahun yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Kampung Batu Lada, Aur Duri, Kuala Krai, semalam, ditemukan pagi ini.
Mangsa, Luth Naiman Mohd Noraziron, ditemukan anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan pada 9.10 pagi, kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.
JBPM Kelantan dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa, Mohd Rayan Hakimi, masih diteruskan.
Operasi hari ini membabitkan 56 anggota terdiri daripada bomba, polis, Pasukan Bomba Sukarela dan penduduk setempat dengan menggunakan sembilan bot, termasuk enam milik penduduk, selain kaedah pencarian di permukaan.
Semalam, bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.39 petang berhubung kejadian dua remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai berkenaan.
Sementara itu, ibu Luth Naiman, Noraziyawani Abu Bakar, 43, berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu menerusi panggilan telefon daripada ibu kepada seorang rakan anaknya sebelum Maghrib semalam.
Menurutnya, anaknya keluar dari rumah di Guchil 3 kira-kira 5 petang semalam bersama-sama rakan dengan membonceng motosikal.
“Dia pernah ke sungai itu dan pulang sebelum maghrib tetapi disebabkan hujan lebat saya ingat dia berhenti berteduh di mana-mana dan tidak menyangka kejadian buruk berlaku,” katanya.
Noraziyawani berkata beliau bergegas ke lokasi kejadian selepas mengetahui insiden yang menimpa anak keempat daripada enam beradik itu. – AlHijrah Online