
KUALA LUMPUR: Polis menahan lima lelaki warga China yang disyaki terlibat dalam beberapa kejadian pecah rumah di ibu negara dalam dua serbuan di Sri Petaling dan Pudu, di sini, Ahad lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, suspek berusia antara 38 hingga 58 tahun itu dipercayai terlibat dalam kejadian pecah rumah di Taman Desa Petaling pada 4 Ogos, yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM6,000 membabitkan wang tunai, barang kemas dan beg silang berjenama mewah.
“Serbuan pada 9.30 malam turut merampas sebuah kenderaan berserta pelbagai peralatan digunakan dalam jenayah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata, polis turut menemukan barangan milik mangsa serta pelbagai barangan mewah lain termasuk jam tangan, dompet dan wang tunai dalam pelbagai mata wang berjumlah lebih RM10,000.
Menurut beliau, suspek turut dipercayai terlibat dalam dua lagi kes pecah rumah di sekitar Cheras.
Kesemua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — AlHijrah Online