
PUTRAJAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa reformasi Lembaga Tabung Haji (TH) dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk memperkukuh mekanisme pelantikan dan tadbir urus bagi memastikan institusi itu bebas daripada pengaruh politik serta kepentingan individu.
Setiausaha Agungnya Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri berkata perkara itu penting, supaya pengajaran daripada Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH tidak hanya berakhir sebagai dokumen, sebaliknya diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan pembaharuan yang berkesan.
Beliau berkata ABIM telahpun membangkitkan isu berkaitan TH sejak 2015, termasuk mengemukakan memorandum serta mengadakan pertemuan dengan pihak TH, bagi penambahbaikan institusi umat Islam itu.
“Laporan RCI ini kalau ditinggalkan di atas kertas, itu sangat menyedihkan. Apabila usaha untuk mengadakan sidang khas Parlimen (susulan pendedahan Laporan RCI), itu satu petanda sangat baik.
“Kita harap ketulusan hati dan tekad politik yang murni untuk membaiki TH pada masa akan datang,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara, “RCI Tabung Haji: Pengajaran Masa Lalu, Jaminan Masa Hadapan”, yang disiarkan Bernama TV malam tadi.
Beliau berkata pengurusan TH perlu melihat dana pendeposit sebagai satu amanah, bukannya peluang untuk membina kekayaan, sambil menyifatkan dapatan RCI mengenai prestasi pelaburan tertentu sebagai sesuatu yang perlu dijadikan iktibar.
Ahmad Fawwaz berkata daripada 14 syarikat yang dilaburkan TH, tujuh mengalami kerugian 100 peratus, sekali gus menunjukkan perlunya mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh dalam proses membuat keputusan pelaburan.
“Ini sebenarnya menutup kata-kata yang mengatakan bahawasanya ada sedikit mismanagement. Kita perlu melihat diri kita sebagai seorang yang memegang amanah tersebut.
“Apabila kita menerima peluang tersebut, di sebalik urusan haji, perniagaan, perjanjian atau hubungan dengan orang lain, apakah kita memegang nilai amanah dan melihat kerjasama itu sebagai satu tanggungjawab besar yang memberi kesan kepada orang lain,” katanya.
Ditanya mengenai gesaan Dewan Rakyat agar pindaan Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535] disegerakan bagi membolehkan syor RCI dilaksanakan terutama dalam memperkukuh tadbir urus TH, termasuk memastikan institusi itu bebas daripada pengaruh dan pelantikan politik, Ahmad Fawwaz berkata beliau setuju dengan cadangan itu.
Beliau bagaimanapun berpandangan bahawa pelantikan ahli politik yang masih aktif dalam arena politik boleh menimbulkan risiko konflik kepentingan, memandangkan kedudukan tersebut berpotensi mempengaruhi keputusan berkaitan pelaburan dan pengurusan institusi.
“Isunya bukan orang politik, isunya kualiti dan kemampuan orang tersebut untuk mengemudi dan juga memegang amanah dana sebesar ini. Apatah lagi orang politik itu, politik aktif.
“Dan ini terbukti dengan beberapa pelaburan yang dibuat, kerana mengenali orang tersebut malah memberi advance untuk duit kerana kasihan dengan dia dan pemberian hibah yang dekat-dekat dengan waktu pilihan raya, semua itu akan mempengaruhi orang politik yang aktif tersebut,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Ahmad Fawwaz berkata prinsip bebas daripada pertimbangan politik perlu diperluas, bukan sahaja kepada pengerusi dan ahli Lembaga TH, malah turut merangkumi pengerusi serta ahli lembaga anak syarikat yang mempunyai kaitan dengan pelaburan TH.
Beliau berkata cadangan yang dikemukakan dalam Laporan RCI bagi menambah baik proses pemilihan ahli lembaga dan pengerusi, termasuk melalui pindaan terhadap peruntukan undang-undang berkaitan, perlu diberi perhatian serius.
Pada masa sama, beliau menyokong cadangan pemisahan fungsi TH dengan urusan pelaburan dan pengurusan haji diletakkan di bawah bidang kuasa yang berbeza, bagi memastikan kedua-dua fungsi dapat diurus dengan lebih berkesan.
“Tabung Haji ini ada dua fungsi. Satunya ialah memacu pertumbuhan pendeposit, maksudnya cari untung. Satu lagi ialah membantu atau memberi subsidi kepada haji dan juga memberi bantuan kepada B40 serta beberapa pihak yang belum cukup jumlah simpanan untuk diberikan subsidi.
“Kedua-dua ini perlu ada pertimbangan yang berbeza. Kalau ia bersekali, itu yang berlaku, memberi hibah tinggi, tetapi dengan akaun yang diubah suai supaya menguntungkan kerana mahu memberi lebih tanpa melihat kunci kira-kira yang sebenar,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Fawwaz turut menggesa TH memperluas komunikasi dengan para pendeposit, bagi memulihkan keyakinan terhadap institusi itu, menerusi pendekatan yang menekankan ketelusan, keterbukaan serta penerangan berterusan mengenai langkah-langkah penambahbaikan yang telah dan sedang dilaksanakan.
“Kita selaku pendeposit mengharapkan komunikasi yang lebih luas antara TH dengan pendeposit. Kepercayaan itu perlu diterima balik melalui transparensi, ketelusan, komunikasi dan juga perbincangan dengan orang awam,” katanya.
Laporan RCI TH didedahkan kepada umum pada 29 Julai, yang merekodkan pelbagai kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 serta mengemukakan 25 syor penambahbaikan, dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai tahun ini.
– BERNAMA